Diceritakan bahawa ketika
saat sakaratulmaut datang menjengah Salman al-Farisi beliau menangis
sehinggakan sahabat-sahabat yang berada di sekelilingnya merasa hairan
lalu bertanya kepadanya : “Apa yang membuatkan kamu menangis wahai
Salman?.” Salman lalu menjawab : “Aku menangis kerana teringat sabdaan
Kekasihku Rasulullah s.a.w yang berbunyi :
ليكن زاد أحدكم من الدنيا كزاد الراكب
“Hendaklah kamu berbekal untuk kehidupan dunia ini seperti perbekalan orang yang sedang berada di atas kapal.”[i]
Sedangkan perbekalan kita adalah dunia itu sendiri dan seluruhnya.”
Lalu para sahabat yang berada di sekeliling Salman berkata:
“Mudah-mudahan Allah mengampuni dosamu wahai Salman. Namun, kami
melihat engkau tidak mengambil apa-apa bahagian dari dunia ini
melainkan hanya serban, tongkat dan cawan yang menjadi kegunaanmu.
Beliau menjawab: “Apakah kamu menganggap remeh hal ini, sesunggunhya
aku takut pada hari kiamat nanti ditanya tentang serban, tongkat dan
cawanku ini.”
Allahu rabbi, inilah
kehebatan zuhud para sahabat yang terlalu takut untuk mengambil dunia
secara berlebih-lebihan melainkan mengambilnya sekadar keperluan untuk
hidup. Hebatnya kezuhudan Salman al-Farisi kerana walaupun mengambil
dunia sekadar keperluan untuk hidup tapi masih bimbang akan di soal di
hadapan Allah di hari akhirat nanti.
Orang
yang akan menaiki kapal hanya akan membawa bekalan-bekalan yang penting
sahaja yang akan digunakan di atas kapal. Mereka tidak akan membawa
segala barang-barang yang dimiliki untuk dibawa berasama mereka di atas
kapal. Begitu juga dengan kita yang hidup di dunia ini tidak dapat
membawa segala apa yang kita miliki di dunia ini ke dalam kubur
melainkan kita hanya boleh membawa amal soleh yang dilakukan sewaktu
hidup di dunia.
Cuba hitung diri kita,
sejauh mana kita mengambil dunia adakah kita mengambil dunia sekadar
keperluan atau kita mengambil dunia seolah-olah kita merasakan bahawa
kita tidak akan menemui kematian. Cuba kita bayangkan dengan hanya tiga
harta yang dimiliki oleh Salman al-Farisi sewaktu diambang
sakaratulmaut pun sudah cukup merisaukannya untuk berdepan dengan
persoalan yang akan ditanya oleh Allah bagaimana kita yang memiliki
berbagai-bagai jenis harta dan kekayaan?
Dunia Tempat Berbekal Bukan Tempat Berhias dan Berseronok
Sesungguhnya para ulama menyatakan bahawa Allah Talla menjadikan dunia ini kepada 3 bahagian manusia iaitu :
I. Bahagian Mukmin
II. Bahagian Munafiq
III. Bahagian g Kafir
Golongan pertama iaitu golongan mukmin
akan menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk mengumpul bekalan menuju
ke akhirat. Mereka tidak lalai dengan dunia dan sedar bahawa dunia ini
akan ditinggalkan oleh kerana itu mereka sentiasa bersiap sedia dengan
bekalan untuk menuju ke alam akhirat.
Golongan
kedua iaitu golongan munafiq akan berhias-hias dengan dunia dan lalai
kepada akhirat. Orang munafiq tertipu dengan dunia ini dan demi kerana
dunia mereka sanggup untuk menjual agama yang ada pada mereka.
Golongan
ketiga ialah golongan kafir yang akan menikmati dunia ini
sepuas-puasnya tanpa mengira halal atau haram. Meraka hidup di atas
dunia dengan tujuan untuk memuaskan nafsu mereka semata-mata tidak
lebih dari itu.
Sebelum Tiba Saat Itu
Mati
yang sering kita ingin lari darinya pasti akan menemui kita suatu hari
nanti apabila tiba saat dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah.
Justeru itu, sebelum mati datang menjemput kita tanpa sebarang notis
eloklah kiranya kita beringat dengan dunia ini kerana godaan dunia
terlalu hebat dan telah berjaya menipu daya ramai manusia. Sebelum tiba
saat itu, marilah kita berusaha menambah amal sementara masih lagi
hidup kerana itulah sebaik-baik bekal yang sangat berguna untuk dibawa
bertemu dengan Allah nanti. Sentiasalah berdoa kepada Allah supaya
ditetapkan iman dan sentiasa bertambah hidayah dari hari kehari kerana
tanpa hidayah dari Allah kita tidak mampu untuk terus berstiqamah di
atas jalan yang lurus yang telahpun dilalui oleh Nabi dan para sahabat
baginda.
Bait As-Syarifah
http://tintadaie.blogspot.com
20/6/2010
1:45 AM
-----------------------------------------------------
Rujukan :
[i] Hadith Riwayat Ahmad (2336) dan Ibnu Hibban (683)
[ii] Dr Aidh al-Qarni : ilal lazina asrofu ala anfusahum
0 comments:
TAMBAH KOMEN